KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohaned Noor sebagai calon parti itu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar Pengumuman Calon BN PRK P.040 Kemaman di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat dengan persetujuan daripada Ketua-Ketua UMNO bahagian, Ketua Wanita, Pemuda Dan Puteri bahagian seluruh Terengganu.
“Kami merasakan bahawa tiba masanya UMNO meletakkan seorang tokoh mewakili BN di Kemaman.
“Tokoh ini telah banyak berjasa kepada negara di luar bidang politik dan beliau telah menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri atas tiket BN,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Raja Mohamed Affandi mempunyai latar belakang yang sangat kuat dalam ketenteraan dan telah melalui kerjaya profesional dengan begitu gigih.
“Secara peribadi saya amat mengenali beliau ketika menjadi Menteri Pertahanan. Kita yakin calon ini nanti dapat membawa perubahan di Kemaman,” ujarnya.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri (PRN) membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember, manakala hari penamaan calon pada 18 November ini. – KOSMO! ONLINE