SEBERANG PERAI – Kehidupan sukar yang pernah dilalui semasa kecil menjadikan seorang lelaki lebih bersemangat untuk membantu golongan memerlukan terutama miskin tegar sejak 13 tahun lalu.
Azizul Abdul Rahim, 39, tidak pernah gagal menghantar barangan keperluan sekurang-kurangnya kepada 20 keluarga terpilih setiap bulan.
Kata mandor kanan di sebuah agensi kerajaan itu, dia akan membelanjakan RM2,000 sebulan untuk membeli barang dapur seperti beras, minyak dan gula.
“Saya juga dibantu oleh pihak atasan dan rakan sekerja yang tahu misi saya ini. Bantuan dihantar selepas balik atau semasa cuti hujung minggu dan saya selesa bergerak sendiri.
“Bantuan biasanya diberikan kepada orang sama dan juga beberapa pemohon baharu yang meminta bantuan menerusi media sosial saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizul yang turut menerima sijil penghargaan daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tahun lalu berkata, pandemik Covid-19 adalah waktu yang paling sukar buat semua rakyat yang terkesan.
“Oleh itu saya penuhkan but kereta dengan barang keperluan untuk diberikan kepada orang susah seperti susu formula dan lampin pakai buang. Selain itu saya turut menyantuni gelandangan di sekitar Bagan, Kedah dan Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan yang juga ibu tunggal, Jamaliah Abdul, 62, berkata, sumbangan Azizul membantu meringankan bebannya sekeluarga.
“Saya tidak bekerja dan menjaga dua anak istimewa, sememangnya bantuan yang dihulurkan amat memudahkan.
“Setiap kali menjelang Aidilfitri, beliau turut akan menyerahkan bekalan ayam dan daging serta duit raya buat kami tiga beranak,” katanya.