REIMS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique masih belum berpuas hati dengan aksi ditampilkan penyerang, Kylian Mbappe ketika mereka menang 3-0 ke atas Stade de Reims dalam saingan Ligue 1 awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Auguste-Delaune itu, PSG memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi sentuhan penyudah Mbappe yang berjaya melakukan jaringan hatrik.
Meskipun sudah menjaringkan tiga gol buat PSG dalam perlawanan itu, namun Enrique menegaskan, ia masih belum mencukupi kerana beliau mengharapkan jaringan lebih besar daripada pemain antarabangsa Perancis itu.
“Dari segi jaringan gol, saya tidak ada sebarang masalah kerana dia memang seorang pemain yang sangat unik. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan aksi ekstra daripada Mbappe, mungkin dari segi aksi berpasukan.
“Buat masa sekarang, memang dia salah seorang pemain terbaik di dunia. Bagaimanapun, dia masih boleh memberi nilai tambah terhadap permainannya jika lebih banyak terlibat dengan rakan sepasukan lain,” katanya.
Bekas jurulatih Barcelona itu juga menghamburkan pujian terhadap penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma yang banyak menafikan percubaan-percubaan berbahaya daripada jentera serangan Reims.
“Perlawanan yang sangat sukar walaupun keputusan perlawanan menunjukkan kami menguasai permainan. Kami perlu berterima kasih kepada Donnarumma yang banyak menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi,” ujar Enrique. – AGENSI