PETALING JAYA – ‘Walau berbaki 10 orang, kami tetap akan teguh bebaskan Palestin’
Demikianlah kata-kata seorang wanita yang juga warga emas di Gaza, Palestin setelah peperangan dan tindasan oleh zionis Israel seakan tiada penghujungnya.
Luahan itu dibuat menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh media sosial warga Palestin di aplikasi X, dikenali sebagai @adham922.
Wanita itu turut menyatakan pendiriannya untuk membebaskan Gaza, Palestin walaupun terpaksa perlu berlapar atau dahaga.
“Kami tidak kisah tentang minum atau makan. Walau berbaki 10 orang, kami akan tetap teguh bebaskan Palestin!,” kata wanita tersebut.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 8,400 ulang ciap dan 22,000 tanda suka.
Di ruangan kapsyen, pempengaruh tersebut mendoakan agar seluruh warga Palestin kekal kuat pertahankan tanah air walaupun diuji dengan ketiadaan makanan dan minuman.
“Inilah ibu-ibu di Gaza, walaupun berhadapan dengan ketidakadilan, penindasan, kelaparan dan dahaga, ini adalah bahasa Gaza dan penduduknya.
“Ya Allah, jangan sia-siakan kesabaran mereka. Ya Allah, muliakan mereka dengan setiap saat kesabaran, lapar dan dahaga,” tulis @adham922. –
Konflik perang antara Palestin dan Israel sudah memasuki lebih sebulan sejak bermula pada 7 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE.