PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi terhadap apa-apa amalan ‘buruh paksa’ melibatkan pekerja asing di negara ini termasuk sektor pembantu rumah.
Menterinya, V Sivakumar berkata, isu sedemikian memang sentiasa dalam perhatian kementerian, malah arahan diberikan kepada Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan tegas diambil terhadap majikan yang melanggar undang-undang itu.
“Kita tidak nafikan tiada kes (buruh paksa) sebaliknya sentiasa berwaspada dan sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang menyalahguna kuasa dan diskriminasi terhadap pekerja,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Deepavali peringkat KSM di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berhubung isu penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini seperti yang dilaporkan semalam termasuk pekerja yang tidak menerima gaji bulanan selama 19 tahun.
Mengulas lanjut, Sivakumar mengakui pihaknya ada menerima aduan berhubung kes terbabit sebelum ini dan tindakan telah diambil termasuk menyelamatkan mangsa.- KOSMO! ONLINE