fbpx

Ibu terima walau apapun keadaan cikgu Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAITON(dua dari kiri) berdoa agar anaknya ditemui dalam keadaan selamat di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim semalam.

KULIM – Kehilangan seorang guru lelaki, Mohd. Hafiz Jasmi, 38, dengan kereta jenis Proton Saga miliknya ditemui di kawasan pusat peranginan Sungai Sedim, di sini kelmarin masih menjadi tanda tanya.

Menurut rakannya, Shahrudin Mutalib, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa pada 2 November lalu ketika acara hari sukan sekolah.

Katanya, pada hari berkenaan, mangsa bertugas sebagai ­pengacara majlis dari pagi sehingga tengah hari.

“Sepanjang aktiviti sukan berjalan dari mula sehingga habis saya lihat rakan saya (Mohd. Hafiz) ceria sahaja dan sering berjenaka dengan semua orang.

“Mohd. Hafiz dan saya bertugas sebagai guru pendidikan Islam pada waktu sesi petang, selepas hari sukan ketika sekolah dibuka semula selepas cuti hujung minggu pada hari Ahad, saya tidak bertemu dengannya,” katanya ketika di temui di sini semalam.

MOHD. HAFIZ

 

Ujarnya, pada hari Rabu lalu, guru besar memaklumkan kepada kami bahawa Mohd. Hafiz tidak hadir ke sekolah selama tiga hari.

Mohd. Hafiz katanya, seorang yang aktif bersukan sering memasuki acara larian marathon dan jarang sangat tidak hadir ke sekolah kecuali ada hal tertentu.

Kelmarin, Mohd. Hafiz di­khuatiri hilang di kawasan pe­ranginan Sungai Sedim dan ge­rakan mencari masuk hari ke empat.

Dalam pada itu, ibu mangsa Zaiton Othman, 64, berkata, dia yang tinggal berasingan dengan anaknya itu mengetahui kehila­ngannya selepas dihubungi salah seorang guru di sekolah tempat Mohd. Hafiz mengajar.

Katanya, selepas itu satu laporan polis dibuat yang membawa kepada penemuan kereta milik­nya di kawasan berkenaan.

KERETA milik Mohd. Hafiz yang ditemui di kawasan pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim baru-baru ini.

“Saya berserah sepenuh kepada Allah dan apa pun keputusannya saya reda,” katanya.

Menurut Zaiton, dia akan berkunjung kawasan itu setiap hari bagi mengetahui perkembangan terkini.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, setakat semalam tiada perkembangan terbaharu me­ngenai kes itu.

Katanya, operasi disambung semula melibatkan kira-kira 60 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota bomba dan penyelamat, polis, renjer dan penduduk kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI