PETALING JAYA – Baru-baru ini, seorang ibu berkongsi video yang memaparkan gelagat lucu anak perempuannya yang cemas kerana sebahagian rambutnya tersangkut pada permainan slime.
Menerusi perkongsian video @naninorizan di TikTok, jelas kedengaran tawa wanita itu melihat slime itu telah menutupi sebahagian rambut anaknya.
Wanita ini mengambil keputusan untuk membaringkan anaknya di atas lantai tandas dan menggunakan syampu serta sikat untuk mengeluarkan slime di kepala anaknya.
“Lepas ni ummi dan abi tak bagi anak-anak main slime lagi. Penat cari petua nak buat slime tu lembut dan larut.
“Waktu ini, saya sangat panik, tak tahu nak guna apa. Cuba cari petua dekat internet. Alhamdulillah, menjadi juga walaupun makan masa sedikit,” jelas Nani.
Video yang dikongsi itu telah menerima sebanyak 1.5 juta tontonan dan 30,000 tanda suka.
Sementara di ruangan komen, ada di kalangan para ibu yang berkongsi tips untuk menanggalkan slime tanpa perlu menggunting rambut atau mencukur kepala.
“Kalau nak cairkan slime itu terus, guna cuka. Gosok dengan kain atau tisu nanti slime itu akan jadi macam cecair,” kongsi Farah.
“Saya pula guna serum rambut sahaja. Dalam seminit, semua slime tanggal,” tambah Noor Hanis. – KOSMO! ONLINE