fbpx

Harimau belang baham Orang Asli di Pos Pasik masuk perangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor harimau belang memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan di Pos Pasik, Gua Musang hari ini. - Foto IHSAN PERHILITAN

GUA MUSANG – Selepas lebih sebulan, seekor harimau belang yang menjadi ancaman dan dipercayai membaham seorang lelaki Orang Asli pada 3 Oktober lalu di Pos Pasik di sini akhirnya masuk perangkap hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau belang itu ditangkap dalam keadaan sihat di kawasan Pos Pasik di sini.

“Perhilitan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan dan pemasangan satu unit perangkap harimau belang di lokasi aduan. Operasi tersebut melibatkan seramai 10 anggota Perhilitan.

“Operasi itu perlu dilaksanakan selepas harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar lokasi aduan dan perkampungan di Pos Pasik. Keadaan tersebut juga telah menjejaskan kehidupan harian masyarakat Orang Asli setempat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, harimau belang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak, namun pihakn ya masih menyiasat dan mengenal pasti sama ada haiwan tersebut merupakan harimau sama yang menerkam mangsa dalam kejadian bulan lalu.

“Tangkapan harimau belang itu sekali gus meredakan kegusaran penduduk Orang Asli di Pos Pasik. Bagaimanapun, penduduk di Pos Pasik perlu berjaga-jaga dengan sentiasa keluar ke ladang dan bekerja secara berkumpulan,,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham seekor harimau ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik di sini.

Mayat, Pisie Amud, 25, dari Kampung Sugi, Pos Pasik telah ditemui penduduk kampung dengan kesan cakaran haiwan liar tersebut pada bahagian kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI