PETALING JAYA – Penyanyi Farisha Iris mendedahkan giat membuat persiapan perkahwinan yang dirancang diadakan akhir tahun depan namun belum sedia berkongsi identiti bakal suami.
Peserta Big Stage musim ketiga itu lebih selesa tidak mendedahkan butiran mengenai kekasih mahupun perincian majlis atas alasan masih terlalu awal.
“Ya, memang betul saya ada perancangan mahu berkahwin, siapa yang tidak mahu mendirikan rumah tangga?
“Namun, lambat lagi majlis itu, nanti saya akan uar-uarkan kerana yang penting bukan tahun ini, insya-Allah hujung tahun depan.
“Hantaran dalam Instagram semalam saya sebenarnya saya tengok-tengok dewan, ingat senang nak buat persediaan kahwin ini, susah rupa-rupanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Dalam masa sama, penyanyi berusia 24 tahun itu juga mengakui belum mengikat tali pertunangan mahupun menerima rombongan merisik.
Disoal mengenai persediaan menjadi isteri, pemilik nama lengkap Farisha Iris Asmadi itu mahu menghabiskan pengajiannya dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Insya-Allah nak kata bersedia itu belum lagi, tetapi buat macam mana. Sekarang ini nak habiskan pengajian di peringkat sarjana sehingga Januari 2024 dahulu,” ujarnya lagi.
Enggan berkongsi secara terbuka, Farisha turut menyembunyikan identiti kekasih hati yang bakal menjadi suaminya.
“Lelaki yang bertuah itu nantilah saya kongsikan. Dia bukan orang dalam industri.
“Kami belum setahun kenal, baru Mac hari itu berkenalan,” luah pelantun lagu Tak Malu itu.
Baru-baru, Farisha sering memuat naik hantaran dalam Instagram sedang membuat persiapan perkahwinan seperti memberi petanda mahu meraikan hari bahagia dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Farisha juga menafikan dakwaan sebagai penyondol tunangan orang.
Dia juga menjelaskan bahawa lelaki yang bergelar kekasihnya, Hardee bukan tunangan sesiapa saat mereka mula serius dalam perhubungan. -KOSMO! ONLINE