LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukannya sudah belajar daripada kesilapan selepas kembali fokus untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Gunners berjaya meraih gol menerusi ledakan Leandro Trossard, William Saliba dan Oleksandr Zinchenko sebelum diarahkan beraksi dengan 10 pemain apabila Fabio Vieira dilayangkan kad merah pada penghujung saingan.
Kata Arteta, anak-anak buahnya berjaya menunjukkan semangat juang tinggi untuk kembali berada di landasan kemenangan selepas kecewa apabila tewas kepada Newcastle United pada aksi liga sebelum ini.
“Saya sangat gembira dengan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh pemain kerana bukan mudah untuk memberikan prestasi positif selepas apa yang berlaku sebelum ini. Namun, kita semakin matang dan menunggu masa yang tepat untuk menyerang.
“Apa yang pasti, kita menjaringkan gol pada waktu yang tepat kerana lawan berusaha untuk bangkit selepas mengikat kedudukan 1-1, tetapi jaringan Saliba dan Zinchenko telah memberi sedikit ruang untuk bernafas,” katanya.
Sementara itu, Trossard mengakui sangat teruja apabila dapat mencipta nama selaku penjaring gol ke-1000 Arsenal di Stadium Emirates selepas meledak pembukaan ke atas skuad kendalian Vincent Kompany itu.
“Sudah tentu saya bangga apabila dapat mencetak nama selaku penjaring kerana dapat membantu pasukan melakar kemenangan. Ia adalah keputusan penting dan harap kita dapat terus fokus apabila liga kembali bersambung nanti,” katanya. – AGENSI