fbpx

‘Biar saya susah asalkan dapat bela ibu, ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraniza (tengah) dan Junaidi (kiri) bergambar bersama Muhamad Fakhrul (kanan) serta Farisha Aulia dan Falisah Auni baru-baru ini.

PETALING JAYA – Seorang pemuda sanggup diberhentikan kerja demi berbakti kepada ke­dua-dua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik selain berkorban masa untuk memastikan dua adiknya dapat meneruskan persekolahan.

Muhamad Fakhrul Izat Mohd. Kasim, 23, berkata, dia tidak kisah untuk bangun seawal pukul 5 pagi setiap hari untuk menyediakan bahan-bahan masakan dan jualan mi kari bersama ibunya, Noraniza Ismail, 46, di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Katanya, dia diberhentikan kerja di sebuah kilang pada Mac lalu kerana terpaksa mengambil cuti bagi menghantar ibunya yang menghidap kanser ­payudara tahap tiga ke hospital.

“Bapa, Junaidi Awang Kechik, 48, pula terlantar akibat kencing manis kronik. Saya perlu lupakan cita-cita untuk menyambung pengajian menjadi cef bagi memastikan adik, Farisha Aulia Izzatunnisa Junaidi, 7, dan Falisah Auni Azzahra Junaidi, 5, terjaga.

“Saya sudah biasa kerja sejak lepas Sijil Pelajaran Malaysia dengan gaji sekitar RM1,200. Ibu disahkan hidap kanser pada 2022 dan saya sering ambil cuti untuk hantar dia ke hospital dan sebab itu saya diberhentikan.

“Ketika ini saya tumpukan perhatian untuk uruskan keluarga. Saya jual 50 set mi kari de­ngan ibu dengan menghantar ke kedai-kedai makan pada harga RM6 sebungkus,” katanya.

Menurut Muhammad Fakhrul Izat, dia memperoleh sekitar RM300 sehari untuk tampung perbelanjaan keluarga se­perti sewa rumah, makan, susu, lampin pakai buang dan perjalanan ke hospital.

Tambahnya, mereka juga terpaksa mengikat perut kerana ada kalanya wang tidak mencukupi.

Sementara itu, Noraniza berkata, anak keduanya merupakan orang kelainan upaya dan dia menerima bantuan zakat dan pihak masjid untuk menampung kehidupan.

“Saya berhenti kerja pada tahun 2021 kerana menjaga suami. Saya pernah menggantikan susu anak dengan air teh O ke­rana terpaksa mencatu belanja,” katanya.

Menurut Noraniza, dia terpaksa menebalkan muka untuk meminta barangan dapur seperti beras daripada adik beradik dan jiran sekiranya bekalan terputus di rumah.

“Untung berniaga diasingkan untuk bayar sewa rumah dan lain-lain. Saya tak mampu beli ubat tambahan untuk kanser payudara,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan keluarga melebihi RM1,000 sebulan dan kos akan lebih meningkat kerana anak bongsunya akan masuk ke taska tahun depan.

“Bertambah kusut apabila saya memerlukan RM3,000 untuk rawatan mata suami yang semakin teruk akibat penyakit kencing manis kronik,” katanya.

Ujar Noraniza, dia juga terpaksa menangguhkan pembedahan mata suaminya kerana ketiadaan wang untuk berbuat demikian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 152108008392 atau ­hubungi Noraniza di talian 016-515 5659.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI