PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan rasa terima kasih kepada beberapa buah negara yang tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Gaza.
Anwar dalam satu hantaran turut memaklumkan, beliau berkesempatan membuat panggilan video bersama seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron dan suami, Mohamed A.M. Shaat yang merupakan warga Palestin yang terkandas di semenanjung Gaza sejak perang meletus lebih sebulan lalu.
“Alhamdulillah pada awal pagi ini, saya telah berkesempatan melangsungkan panggilan video dengan Puan Nurul Ain Haron, rakyat kita yang terkandas di Semenanjung Gaza sejak perang meletus lebih sebulan yang lalu.
“Beliau dan suaminya, Mohamed A.M. Shaat seorang warga Palestin telah berjaya dibawa keluar pada malam Ahad, 12 Nov di sempadan Rafah,” katanya di sini tadi.
Anwar berkata, mereka turut menyampaikaj penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memastikan keselamatan dirinya serta suami.
“Dalam perbualan kami, Puan Nurul dan suaminya telah menyampaikan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sedaya upaya memastikannya dan suami selamat dibawa keluar dari Gaza.
“Mereka turut merakamkan rasa terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka keluar dari zon perang dapat dilakukan,” ujarnya.
Terdahulu, Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad, pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lepas, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman. – KOSMO! ONLINE.