PETALING JAYA – Seorang lelaki terpaksa berputih mata setelah cermin hadapan keretanya pecah teruk akibat dihempap banner (kain rentang) gergasi sewaktu meninggalkan kenderaan tersebut di sebuah kawasan parkir.
Menurut hantaran yang dikongsi oleh @nanmanjoi8715 di aplikasi X, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Maeps, Serdang.
“Kalau berlaku begini, siapa yang bertanggungjawab?,” tanya pengguna tersebut di ruangan kapsyen.
Insiden tersebut dirakam menerusi kamera papa pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain yang berada di lokasi sama.
Menerusi rakaman yang tular itu, ‘banner’ tersebut yang diletakkan di tengah laluan antara lorong parkir terjatuh akibat ditolak angin sehingga merosakkan kira-kira tiga buah kenderaan.
Meninjau ke ruangan komen, ada yang berpendapat tidak ada sesiapa yang boleh disalahkan kerana pemilik kenderaan memarkir atas risiko sendiri.
Bagaimanapun, ada juga yang menasihati pemilik kenderaan terbabit agar menghubungi pihak pengurusan banner tersebut untuk tindakan selanjutnya kerana ia dipasang di kawasan yang kurang sesuai.
“Susah kalau jadi macam ini, takkan hendak salahkan angin pula,” kata Wan.
“Makan modal ni. Meleleh air mata kalau jadi macam ini,” kata Faiz.
“Kenapalah letak papan iklan dekat situ,” kata Ikhmal.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 100 tanda suka dan 71 kongsi semula. – KOSMO! ONLINE
Kalau jadi mcm ni siapa nak tanggungjawab. 🤔#MaepsSerdang pic.twitter.com/ATDlUboNsQ
— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) November 12, 2023