PUTRAJAYA – Tidak sampai 10 hari selepas Istiqbal Musytari pada 3 November lalu, para peminat astronomi tempatan berpeluang melihat Istiqbal Uranus awal pagi Selasa ini.
Walau bagaimanapun, ujar pakar falak terkenal tanah air, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin, fenomena itu masih lagi memerlukan peralatan pandang jauh yang bersesuaian.
Katanya, penggunaan alat bagi cerapan istiqbal hanya mampu dilakukan mereka yang mahir sahaja kerana memang sukar dilihat mata kasar.
“Planet yang boleh ditengok terus mata kasar cuma Utarid, Kejora, Marikh, Musytari dan Zuhal manakala Uranus, Neptun dan Pluto pula tidak boleh dilihat mata kasar,
“Kalau diikutkan pengalaman ahli astronomi seluruh dunia, pencerap kena menggunakan alat khas tertentu misalnya teleskop agar imej dilihat lebih jelas,” katanya ketika dihubungi.
Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran berbentuk infografik pada awal bulan ini memaklumkan bahawa peristiwa itu akan terjadi pukul 1.20 pagi Selasa di seluruh negara.
Ketika kejadian tersebut, planet ketujuh dari matahari dalam sistem Suria itu akan berada pada kedudukan bertentangan atau oposisi yang satu baris dengan matahari dan bumi.
Sewaktu fenomena ini, Uranus bakal disinari sepenuhnya oleh matahari dan boleh dilihat terang berbanding semasa planet itu berada pada kedudukan yang lain. – KOSMO! ONLINE