BRASILIA, Brazil – Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan situasi seorang remaja mati secara tiba-tiba, beberapa saat selepas dia merompak seorang warga emas di sebatang jalan di Sao Paulo, Brazil, lapor laman berita MailOnline semalam.
Rakaman itu pada mulanya memaparkan remaja berkenaan, Gustavo da Silva Godoy, 17, menunggang sebuah motosikal dengan rakan subahatnya sebelum mereka memintas sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang warga emas.
Sejurus mangsa berhenti, Godoy dan rakannya menghampiri dan memeriksa badan warga emas tersebut sebelum dia diarahkan turun dari motosikalnya.
Rakan subahat Godoy kemudian merampas motosikal mangsa lalu melarikannya. Dalam masa sama, Godoy menunggang semula motosikal yang digunakan untuk memintas warga emas tersebut.
Namun, beberapa saat kemudian, motosikal itu secara tiba-tiba bergerak ke arah kiri jalan tersebut sebelum Godoy terjatuh dan terbaring di atas jalan.
Anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian gagal enyelamatkan nyawa Godoy sebelum mengumumkan kematiannya, lapor media tempatan.
Polis Brazil dilaporkan sedang melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut. – AGENSI