PETALING JAYA – Pensijilan halal telah meningkatkan imej dan jenama Yeo’s Malaysia (Yeo’s) sebagai sebuah syarikat makanan dan minuman terkemuka di pasaran antarabangsa.
Bagi mencapai tahap itu, syarikat sentiasa memberi keutamaan kepada operasi berkaitan halal yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan pasaran dan membina keyakinan pelanggan terhadap rangkaian produknya di Malaysia dan di luar negara.
Pengurus Kanan Pematuhan Halal Yeo’s, Razana Mat Saad berkata, pensijilan halal melibatkan tadbir urus yang terperinci dan semua jenama mesti mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selain memenuhi kehendak pasaran Malaysia, hari ini Yeo’s juga tampil sebagai pusat pembuatan dan pengedaran global yang penting ke Indonesia, New Zealand, Australia, Eropah, Indochina dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Razana menjelaskan, pihaknya mempunyai sistem yang komprehensif dan efektif dengan mematuhi keperluan Jakim sepenuhnya.
“Kami melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan Sistem Jaminan Halal (HAS) kami sentiasa mematuhi sepenuhnya semua keperluan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020.
“Peraturan halal yang ketat ini dipatuhi di seluruh premis dan produk kami.
“Keseluruhan rantaian pengeluaran daripada sumber bahan kepada pembuatan dan pembungkusan, semuanya mematuhi undang-undang serta peraturan untuk pensijilan halal.
“Ini bermakna bahan mentah, bahan tambahan, bahan bantuan pemprosesan, perkakas dan peralatan kami, malah sistem pengeluaran, pemprosesan produk dan keseluruhan premis kilang kami semuanya menepati standard ketat yang ditetapkan oleh Jakim,” jelas beliau.
Tambah Razana, bagi memantapkan lagi pengoperasian syarikat, Yeo’s turut mempunyai pasukan khusus yang dilatih di bawah Majlis Profesional Halal Jakim melalui inisitiaf Badan Penyedia Halal Berdaftar dan tenaga pengajar halal berdaftar untuk sentiasa memantau dan memastikan kemampanan sistem halalnya melalui pengauditan dan semakan dalaman secara berkala.
“Kami bekerjasama rapat dengan Jakim bagi memastikan kami dapat mengekalkan integriti operasi halal dan selama ini mereka memberikan sokongan yang sangat baik.
“Kami juga terbuka untuk memanjangkan kerjasama bersama Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri dalam menganjurkan program-program kesedaran halal untuk memperkasa dan memperkukuh pengetahuan pengguna berkaitan halal,” jelasnya.
Razana memberitahu, pengiktirafan yang diterima oleh Yeo’s selama ini adalah hasil kesungguhan syarikat berkenaan dalam mematuhi dasar halalnya.
Pada 2009, Yeo’s menerima anugerah Jenama Halal Terbaik manakala pada tahun 2018, syarikat juga diberikan pengiktirafan yang cukup membanggakan menerusi Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia BrandLaureate bagi kategori Makanan & Minuman FMCG.
Razana menerangkan, produk Yeo’s juga dikilangkan mengikut standard kualiti dan keselamatan makanan antarabangsa yang ketat serta selamat untuk dimakan. -KOSMO! ONLINE