fbpx

Pengguna lebih yakin, percaya produk ada pengiktirafan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil Bahagian Pengurusan Hab JAIS dan Jakim bersama kakitangan Yeo’s di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pensijilan halal adalah satu perkara pen­ting untuk membina kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan produk keluaran sesebuah ­syarikat.

Sehubungan itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Zamri Mohamed Shapik berharap, semua industri khususnya yang terlibat dalam pembuatan makanan dan minuman memohon pensijilan halal daripada pihaknya seterusnya mematuhi peraturan dan keperluan hukum syarak.

“Kami menyambut baik komitmen, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh syarikat-syarikat yang merupakan peme­gang Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk sentiasa memastikan tahap pematuhan yang tinggi demi memastikan ekosistem pengawalseliaan halal sentiasa diyakini dan menjadi rujukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan kakitangan daripada Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS) ke pejabat Yeo’s Malaysia bersama wakil-wakil dari Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan Hab Halal Jakim di sini baru-baru ini.
Mohamad Zamri me­nerangkan, Jakim adalah pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia.

Jabatan itu juga katanya, adalah agensi bertanggungjawab untuk memberikan pengiktrafan halal kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh industri yang memenuhi keperluan atau syarat yang digariskan dalam keperluan pensijilan halal dan standard Malaysia.

Jelasnya, pengguna juga boleh menyemak dan mengesahkan status halal satu-satu produk melalui platform online yang disediakan oleh Jakim seperti portal rasmi halal Malaysia atau Aplikasi Mobil seperti Verify Halal dan Smart Halal.

Tambah Mohamad Zamri, usaha kini sedang dilakukan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk menjadi peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion.

Menurut Mohamad Zamri, melalui potensi tersebut, ia akan dapat memanfaatkan pasaran halal dunia yang dianggarkan melebihi AS$1 trilion (RM4.68 trilion) tahun hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI