SYDNEY – Mahkamah Tinggi Australia membebaskan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar, 51, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
The Sydney Morning Herald melaporkan, keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa pengawal peribadi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak boleh ditahan selamanya-lamanya oleh pihak berkuasa imigresen.
Sehubungan itu, Sirul Azhar dibebaskan dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney.
Seramai 92 dibebaskan dan dibenarkan kekal di Australia di bawah syarat khas yang telah ditetapkan.
Tambah laporan itu, anak lelaki Sirul, Shukri Azam yang tinggal di Canberra turut mengesahkan pembebasan bapanya.
“Dia kini ada bersama saya, dan saya sedang menguruskan semua perkara mewakili pihaknya,” katanya melalui emel.
Untuk rekod, Sirul telah berada dalam tahanan imigresen di Australia sejak tuntutannya untuk suaka di negara itu ditolak pada 2019.
Kerajaan Australia enggan menghantarnya pulang ke Malaysia kerana dia berdepan hukuman mati dan akan dihukum gantung jika kembali.
Terdahulu, Sirul Azhar dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006, seorang wanita Mongolia yang merupakan penterjemah, salah seorang bekas sekutu Najib, Razak Baginda. – KOSMO! ONLINE.