fbpx

MRSM untuk semua yang layak – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi

PETALING JAYA – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak pernah ada polisi hanya pelajar miskin sahaja yang boleh memasuki sekolah tersebut namun, keutamaannya diberikan lebih kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, polisi MARA menetapkan kuota 60 peratus adalah anak-anak pelajar MRSM adalah dari kalangan B40 dan selebihnya mereka yang layak dalam kalangan M40 dan T20.

“MRSM dari awal penubuhan tidak pernah menutup peluang anak-anak golongan kenamaan yang layak untuk masuk ke MRSM, bahkan anak Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden ANSARA.

“Kepelbagaian latar-belakang pelajar-pelajar dalam MRSM mampu memupuk nilai-nilai positif dalam pergaulan untuk saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan mengikis rasa rendah diri mahupun besar diri dikalangan pelajar.

“Ini juga persiapan untuk pelajar hidup dalam dunia realiti yang hakikatnya terdiri daripada masyarakat pelbagai status ekonomi,” katanya di laman sosial Facebooknya hari ini.

Jelas Asyraf lagi, sejak penubuhan institusi pendidikan tersebut, keutamaan MRSM tetap diberikan kepada anak daripada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, ibu bapa dari kalangan M40 dan T20 yang banyak membantu Persatuan Muafakat (PIBG) dalam pelbagai aktiviti dan pendanaan tambahan yang diperlukan untuk program pembangunan pelajar.

“Cuba bayangkan jika semuanya daripada B40, siapakah yang boleh membantu Persatuan Muafakat dan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM?

“M40 menurut tafsiran kerajaan adalah mereka yang berpendapatan isi-rumah (suami isteri) antara RM5,000-RM10,000. Justeru, tidak semestinya mereka yang berpendapatan RM5,000 dengan anak lebih daripada tiga orang yang menetap di bandar besar itu semuanya senang. Justeru tidak adil secara mutlak menafikan mereka,” jelasnya.

Tambah Asyraf, kepelbagaian latar-belakang keluarga MRSM inilah yang telah berjaya meningkatkan kecemerlangannya selama ini dengan pelbagai aktiviti dijalankan dengan prinsip saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI