fbpx

MBPG jangan bersikap zalim – Penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penduduk Pasir Gudang yang menghadiri sesi Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) diminta untuk bertimbang rasa dengan kesempitan hidup ekonomi rakyat ketika ini sebelum membuat keputusan melaksana Nilaian Baharu Cukai Harta bermula 1 Januari tahun depan.

Seorang pesara, Sariff Sain, 66, memberitahu, MBPG wajar menangguhkan kenaikan itu kerana pelaksanaannya tidak sesuai dengan masa selain amat membebankan.

“Sekarang kita boleh lihat lain rentang ada dipasang di pintu masuk taman-taman perumahan yang memberi amaran, jika tidak bayar cukai pintu rumah akan disita. Ini menakutkan dan membimbangkan orang ramai. Jangan zalimi rakyat.

“Keputusan menaikkan cukai pintu antara 40 sehingga 50 peratus belum dimuktamadkan tetapi penduduk sudah menerima surat berkenaan pada Oktober lalu bahawa pelaksanaannya akan bermula tahun depan,” katanya yang menetap di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini hari ini.

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia menimbang pelaksanaan cukai baharu tersebut.

Beliau dilaporkan berkata satu mesyuarat khas akan diadakan pertengahan bulan ini bagi memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti, manakala penduduk dibenarkan membuat bantahan bertulis atau secara dalam talian.

Seorang lagi penduduk Pasir Gudang, Aiman Hafiz, 30, pula berkata, peratusan kenaikan yang dicadangkan tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan yang diberi PBT itu selama ini.

“Ini berbeza dengan kadar kenaikan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu antara 8 sehingga 11 peratus sahaja tahun depan. Saya perlu bayar kadar baharu RM1,180 pada tahun depan seperti dinyatakan dalam surat yang dihantar MBPG.

“Saya juga kecewa apabila bukan sahaja Datuk Bandar Pasir Gudang, tetapi tiada seorang pun Ahli Majlis yang hadir sesi town hall ini bagi mendengar rayuan dan masalah orang ramai,” ujarnya yang menetap di Bandar Seri Alam.

Sementara itu, Jalee Anjut, 45, yang menetap di Taman Scientex pula memberitahu, penduduk bukan sahaja terbeban dengan kadar baharu cukai tersebut, tetapi juga beberapa perkara lain termasuklah pelaksanaan saman parkir kereta depan rumah.

“Perkhidmatan Indah Water Konsortium juga dikenakan caj RM120 setahun, dimana sekiranya tidak dibayar pemilikan kediaman boleh dikenakan tindakan mahkamah. Bayangkan beban cukai yang perlu kami bayar, hutang MBPG tahun lepas saya belum habis bayar lagi, ini memeningkan kepala,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI