fbpx

Lelaki Myanmar pula maut dibaham harimau di Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan seorang lelaki Myanmar yang meninggal dunia selepas diserang oleh seekor harimau belang di ladang Meranto, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Selepas penemuan mayat lelaki warga Indonesia yang maut akibat dibaham harimau di Pos Pasik di sini kelmarin, seorang lelaki warga Myanmar pula meninggal dunia angkara pak belang di kebun getah di Kampung Meranto dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, Ahka Soe Ya, 22, cedera parah pada bahahian kepala akibat diserang seekor harimau belang ketika sedang menoreh getah bersama isterinya di ladang Meranto di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang luka dan berdarah pada bahagian belakang leher dibawa oleh empat orang warganegara Myanmar dipercayai isteri dan rakan mangsa.

Katanya, keempat-empat individu itu meminta bantuan seorang lelaki tempatan yang berada di tapak pemeriksaan kayu balak untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas menerima rawatan kecemasan. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat serangan harimau,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) meneruskan usaha pemasangan kamera selain perangkap harimau untuk mengesan dan menangkap haiwan berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, mayat seorang lelaki warga Indonesia dijumpai dalam keadaan mengerikan apabila anggota tubuh badannya tidak sempurna selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah di sini, kelmarin

Mangsa, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemui oleh seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pos Pasik di sini.

Choon Foo berkata, anggota penyelamat menemui cebisan kaki mangsa di kawasan cerun lebih kurang 500 meter dari lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Katanya, cebisan badan dan sebahagian kaki mangsa kemudiannya ditemui kira-kira 300 meter dari kawasan penemuan pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI