BANDAR GAZA – Bayi-bayi di Hospital Al-Shifa dipindahkan ke bahagian lain di kompleks bangunan itu semalaman selepas unit neonatal kehabisan bekalan oksigen, kata seorang pegawai kesihatan kanan di Gaza seperti dilaporkan saluran berita CNN.
Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr. Munir Al Bursh, bayi-bayi itu dipindahkan tanpa inkubator dan dibawa menggunakan tangan kosong ke dewan bedah hospital tersebut di mana bekalan oksigen masih ada.
“Oksigen dalam unit neonatal sebelum ini dilaporkan sudah kehabisan selepas generator rosak akibat serangan berhampiran,” kata Munir.
Kakitangan kemudahan tersebut berkata, mereka berada di bawah kepungan tentera Israel dan tidak dapat meninggalkan hospital itu walaupun jurucakap askar Zionis menafikan perkara itu (kepungan).
Pada taklimat petang semalam, jurucakap askar Israel, Daniel Hagari berkata, kakitangan hospital tersebut telah meminta bantuan pihaknya untuk memindahkan bayi keluar dari Hospital Al-Shifa ke pusat perubatan lain yang lebih selamat.
“Kami akan menyediakan bantuan yang diperlukan,” tambah Hagari.
Namun, sehingga pukul 9 pagi hari ini (waktu tempatan) tidak jelas sama ada sebarang pemindahan sedemikian mungkin berlaku. – AGENSI