PETALING JAYA – Lebih separuh daripada perwakilan pada forum anjuran firma perkhidmatan profesional, KPMG baru-baru ini menggemari pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berbanding keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Lebih 600 delegasi menghadiri forum Sidang Kemuncak Cukai dan Perniagaan KPMG, yang meliputi pelbagai isu perniagaan melalui pertukaran yang membina antara profesional perniagaan dan pembuat dasar.
Daripada dialog yang diadakan, yang termasuk tinjauan langsung, hanya 17 peratus perwakilan menyokong kenaikan kadar SST bermula 1 Mac 2024 daripada enam peratus kepada lapan peratus, manakala 32 peratus lagi menentang.
Sementara 51 peratus daripada perwakilan yang ditinjau menyatakan keutamaan mereka adalah untuk pengenalan semula GST bagi menggantikan kenaikan kadar SST.
Mengulas keputusan berkenaan, Ketua Cukai KPMG di Malaysia, Soh Lian Seng berkata, sentimen itu menggariskan cabaran yang dihadapi pembuat dasar, semasa mereka berusaha mencari keseimbangan antara melaksanakan pembaharuan cukai untuk menambah baik kewangan negara, dan memperkenalkan inisiatif yang menyokong kesejahteraan rakyat.
“Saya teruja melihat Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri terus menerima pendapat umum, yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk cadangan untuk Bajet 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Berhubung pembaharuan cukai yang perlu diperkenalkan, majoriti (69 peratus) perwakilan mahu kerajaan mengukuhkan pematuhan dan tadbir urus cukai, yang akan menggalakkan kutipan hasil lebih baik dan penggunaan hasil lebih cekap, sambil menangani ekonomi bayangan.
Ini diikuti oleh memanfaatkan dasar cukai, dengan memudahkan pentadbiran cukai dan mempromosikan lebih banyak dasar cukai dipacu ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) untuk menarik pelaburan domestik dan asing ke dalam negara (45 peratus). -KOSMO! ONLINE