IPOH – Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Kategori Bandaraya sempena Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 (AKM 2023) di Kuala Lumpur semalam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan berkata, Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik merupakan pengiktirafan buat Datuk Bandar, Yang Dipertua, Presiden, Pengerusi, Setiausaha dan Pegawai Eksekutif yang menerajui PBT ke arah menjadi organisasi berintegriti, cemerlang dan responsif serta menjadi teladan baik kepada kakitangan serta rakan sejawat.
“Pada malam anugerah tersebut, MBI telah berjaya dicalonkan menerusi dua anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Pihak PBT Terbaik Kategori Bandaraya dan Anugerah PBT Cemerlang.
“Sebanyak 12 kategori AKM 2023 dipertandingkan merangkumi lapan lapan anugerah bagi kategori individu dan empat anugerah bagi kategori berpasukan,” katanya di sini.
Menurut MBI, penerima anugerah diberikan penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000 tertakluk kepada kategori, sijil penghargaan, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara bagi kategori terpilih.
“Semoga anugerah tersebut akan meletakkan MBI dan Ipoh antara PBT dan bandar raya terbaik di Malaysia yang seterusnya akan menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar di rantau Asia,” katanya.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, pengiktirafan diterima tersebut merupakan satu kejayaan terhadap konsep bandar pintar yang digerakkan oleh pihaknya selama ini.
“Kita membangunkan Ipoh sebagai sebuah bandar hijau di Peringkat Asia Tenggara, bahkan merupakan yang pertama menggerakkan konsep bandar pintar di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE