BAGAN SERAI – Sebuah bot pukat rawa sorong yang beroperasi tanpa lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Bagan Panchor di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot itu dikesan oleh bot peronda Zon Maritim Kuala Kurau yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan seorang tekong warga tempatan berumur 44 tahun berada di bot tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, bot terbabit tidak memiliki lesen dan serawan pukat rawa sorong ditemukan berada di atas bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tekong tersebut ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas untuk siasatan sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.
“APMM menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE