SERDANG – Gara-gara berlaku kemalangan kecil sewaktu memotong kereta, seorang lelaki tempatan cedera ringan dipukul di Jalan PBS 14/11, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izzudin Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang.
Katanya, kejadian tersebut melibatkan dua lelaki tempatan serta dua kenderaan yang dinaiki mereka.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca akibat perlanggaran sedikit sewaktu sebuah van memotong kereta yang dinaiki seorang lelaki berusia 64 tahun.
“Susulan itu, berlaku pergaduhan antara dua pemandu tersebut dan menyebabkan pemandu van yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan luka kecil. Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Izzudin, keterangan semua pihak yang terlibat sudah diambil dan mereka mengambil keputusan menyelesaikannya dengan cara baik.
Terdahulu, tular satu video di aplikasi Facebook berhubung pergaduhan antara dua individu yang memaparkan seorang lelaki mengalami cedera luka di bahagian kepala ekoran dipukul dengan objek tumpul.- KOSMO! ONLINE.