fbpx

4 ‘bayang-bayang’ Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GALA minggu ini menyenaraikan beberapa penyanyi yang seringkali dikecam dan dibandingkan dengan kehebatan Siti Nurhaliza.

KHALAYAK sedar bahkan tiada siapa yang dapat menyangkal populariti dan kredibiliti karier seni penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Versatiliti dan pengaruh Siti dengan ratusan anugerah yang diraih dari dalam dan luar negara memang selayaknya dijadikan kiblat kepada mana-mana penyanyi khususnya pendatang baharu.

Bakatnya bukan sahaja dihormati dalam negara, malah turut disegani di peringkat antarabangsa apabila tersenarai sebagai The World’s 500 Most Influential Muslim dari 2015 hingga 2022.

Bagaimanapun, kejayaan yang didakap penyanyi asal Pahang itu seolah-olah memberi laluan sulit kepada penyanyi lain kerana penanda arasnya terlalu tinggi untuk dicapai sekali gus mewujudkan perbandingan yang tidak sihat.

Rentetan itu, Gala minggu ini menyenaraikan beberapa penyanyi yang seringkali dikecam dan dibandingkan dengan kehebatan Siti Nurhaliza.

 

Elly Mazlein

SEBELUM terciptanya pesona Kak Lina Pom Pom yang dibawa Elly Mazlein dalam bidang pengacaraan, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu sebelum ini dikenali dengan karakter lemah lembut dan bersopan santun.

Awal kemunculannya dalam industri sebagai penyanyi mengejutkan ramai orang kerana dikatakan suara persis Siti Nurhaliza.

Rentetan itu, ramai yang berpendapat Elly Mazlein tidak akan bertahan lama dalam industri kerana tidak mempunyai identiti sendiri dan hanya dikenali sebagai klon Siti Nurhaliza.

Tidak melenting apabila dibandingkan dari dulu sehingga kini, Elly sebaliknya menghormati setiap pendapat dan respons daripada peminat kerana percaya setiap orang mempunyai pendengaran tersendiri.

 

Ernie Zakri

KEBOLEHAN Ernie Zakri dalam menyanyikan pelbagai genre lagu termasuk Irama Malaysia menjadikan isteri kepada Syamel itu diminati segenap lapisan umur.

Tidak dinafikan, nyanyian penuh lemak merdu serta variasi teknikaliti dalam nyanyian pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri itu selayaknya dipuji.

Meskipun begitu, terdapat segelintir netizen yang berpendapat lenggok merdu yang sering menjadi dipamerkan Ernie dalam nyanyiannya itu kedengaran tidak natural dan terlalu mencuba untuk menjadi semerdu Siti.

Bukan Siti sahaja, teknikaliti yang digunakan Ernie dalam setiap nyanyiannya seringkali juga dibandingkan dengan Aina Abdul.

Bagaimanapun, lama-kelamaan peminat bagai sudah mampu menerima hakikat bahawa setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

Aina Abdul

KEHADIRAN penyanyi meningkat naik seperti Aina Abdul berbekalkan kualiti nyanyian cemerlang serta pembawaan fesyen avant-garde nyatanya mewarnai industri muzik tanah air yang sudah lama kehausan penyanyi bermutu.

Seiring pelbagai kejayaan yang diraih pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu, baru-baru ini, heboh dakwaan peminat bahawa Aina sudah layak bergelar penyanyi nombor satu negara dan berpendapat Siti tidak lagi relevan untuk masa kini.

Kenyataan itu menyebabkan ramai tidak berpuas hati sehingga membandingkan pencapaian Siti dan Aina.
Ramai mengatakan kedudukan Aina masih jauh jika dibandingkan dengan Siti, sekali gus belum layak untuk bergelar penyanyi nombor satu.

Sebagai maklum balas, Aina berkata, dirinya malu apabila dibandingkan dengan penyanyi yang juga idolanya sejak dari kecil lagi.

Katanya, dia sedar masih belum mampu menandingi Siti yang sudah memiliki ratusan anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa dan berpendapat Siti paling layak berada pada kedudukan nombor satu.

Liza Hanim

SEJAK awal kemunculan Liza Hanim dalam industri muzik tanah air, ada sahaja segelintir pihak yang membandingkannya dengan Siti kononnya mempunyai suara hampir sama.

Sebelum ini, terdapat cubaan segelintir netizen yang mewujudkan perbandingan untuk persembahan duetnya bersama Siti Nurhaliza padaAnugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) lalu.

Difahamkan, ada netizen mendakwa Siti Nurhaliza adalah satu-satunya ‘pesaing tepat’ yang mampu untuk membenamkan kemantapan vokal dimiliki Liza Hanim ketika membuat persembahan secara langsung.

Tidak mudah melatah, pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu menegaskan, dirinya enggan memikirkan segala perbandingan yang cuba dibuat kerana baginya sekarang bukanlah masa untuk menilai siapa hebat sebaliknya saling menghargai setiap bakat seni yang ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI