TERLIBAT dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah ternyata menjadi pengalaman paling berharga buat wanita dikenali sebagai Rosmawati Abd. Razak.
Bagi wanita berasal dari Kuala Lumpur itu, bidang perniagaan sudah menjadi darah dagingnya sejak mula berkecimpung secara serius sekitar 15 tahun lalu.
Dia yang mesra disapa sebagai Wati berkata, pembabitannya dalam dunia perniagaan bermula selepas membuka salun rambut dan perkhidmatan penjagaan wajah.
Katanya, dia terbabit dalam perniagaan itu selepas mendapat sijil daripada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan dalam bidang kecantikan.
“Saya memang suka mencantikkan orang. Jadi, saya kembangkan bakat yang ada ini.
“Semasa berusia 20 tahun, saya memulakan perniagaan pertama dengan membuka salun kecantikan.
“Ketika itu, saya dan rakan kongsi sama-sama membangunkan salun berkenaan.
“Saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari,” katanya.
Berkongsi kepada Aura, wanita berusia 42 tahun itu memberitahu, dia telah ditipu dalam pembelian barangan salun kerana rakan kongsinya menaikkan harga jauh lebih mahal sehingga menyebabkan kos mencanak naik.
“Saya buat keputusan untuk keluar daripada kerjasama itu dan cuba membuka salun sendiri tanpa berkongsi dengan sesiapa.
“Jujur saya katakan, ia agak sukar kerana banyak modal diperlukan dan perniagaan itu hanya sempat beroperasi selama tiga tahun,” katanya.
Selepas tidak dapat menampung kos operasi salun berkenaan, Wati mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan.
Usai tamat pengajian, dia terdetik membuka sebuah butik perkhidmatan perkahwinan.
Pun begitu, dia sekali lagi diuji apabila rakan kongsinya tidak mahu meneruskan perniagaan.
Rakan kongsinya telah bertindak keluar daripada bisnes tersebut.
“Saya terpaksa membiayai perniagaan berkenaan seorang diri dengan modal sendiri.
“Saya bersyukur pada waktu itu suami banyak membantu dari segi kewangan dan moral, selain suntikan semangat.
“Saya kuatkan hati untuk meneruskan perniagaan ini. Alhamdulillah, sekarang sudah lebih 10 tahun ia beroperasi.
“Keluarga juga banyak memberikan semangat dan bantuan bagi memastikan perjalanan saya dalam perniagaan ini dimudahkan,” ungkapnya.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, Wati berkata, terlalu banyak cabaran yang harus ditempuhi bagi memastikan perniagaan dibangunkan mendapat tempat di hati pelanggan.
Katanya, antara cabaran utama adalah modal untuk memulakan perniagaan.
“Modal yang diperlukan bergantung kepada jenis perniagaan yang saya mahu usahakan.
“Saya lebih suka memulakan sesebuah perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu.
“Selain modal, persaingan juga penting dalam menentukan hala tuju dan kejayaan sesebuah syarikat.
“Bila mula berniaga, baru kita nampak pelbagai jenis saingan yang ada di sekeliling.
“Namun, saya lebih suka melihat saingan ini secara sihat kerana ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk memajukan bisnes,” katanya.
Hasil penat lelah berniaga, Wati akhirnya mampu tersenyum apabila berjaya mengeluarkan Glam Oil iaitu produk kecantikan.
Produk serum itu diperbuat daripada campuran 100 peratus minyak rosehip dan argan yang diimport dari Maghribi serta Amerika Syarikat.