KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan berlaku pencemaran di sebuah tangki air kolej kediaman mereka seperti video tular di laman sosial sejak semalam.
Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi kenyataan hari ini menjelaskan, pencemaran berkenaan hanya dikesan selepas tersebarnya video tular yang menunjukkan terdapatnya ulat di dalam tangki air melibatkan kolej kediaman universiti itu.
“Pihak UMS mengambil maklum tentang sebuah klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berkaitan pencemaran tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus UMS.
“Susulan klip video tular itu, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video berkenaan.
“Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS.
“Bagaimanapun, tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub (tubewell) dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian para pelajar.
“Ekoran kejadian itu, JPP sudah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, UMS memaklumkan JPP juga mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS.
“Pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan para pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan para pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran dan kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman,” katanya. -KOSMO! ONLINE.