GURUN – Sepasang suami isteri berdepan kesukaran menjaga tiga anak yang mengalami penyakit paru-paru kronik kerana tidak mempunyai pendapatan tetap sejak enam tahun lalu.
Tiga anak yang menghidap penyakit itu ialah Siti Nur Auni Atilia, 13; Fitri Akimi, 8, dan Fitri Aeril, 6.
Kata Siti Kalsom Harunarshid, 36, dia perlu menguruskan tiga lagi anak, selain menjaga ibunya, Rohani Hassan, 61, yang mengalami ketumbuhan otak.
“Suami Muhamad Khairul Amri, 41, melakukan kerja kampung.
“Suami pernah bekerja sebagai pemandu lori, namun disebabkan kerap bercuti kerana perlu bergilir-gilir membawa anak ke hospital, dia diberhentikan kerja.
“Sekarang suami hanya melakukan kerja-kerja kampung tanpa pendapatan tetap dan kami sering mengalami masalah kewangan kerana kos perbelanjaan keluarga yang tinggi,” katanya di rumah sewanya di Taman Mesra Ria 1, Jalan Jeniang, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, suami terpaksa menanggung kos rawatan anak-anak termasuk sebahagian ubat serta keperluan lain seperti makanan khas untuk tiga anak yang sakit, lampin pakai buang dan kos perjalanan ke hospital.
“Ia menyebabkan bayaran sewa rumah dan bayaran utiliti tertunggak,” ujarnya.
Katanya lagi, tiga anak yang menghidap penyakit kronik itu kerap mengalami asma yang teruk, sering letih dan tidak cergas seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, Fitri Aeril turut dikesan menghidap penyakit kanser darah yang memerlukannya mendapatkan rawatan di hospital dengan kerap.
“Dia juga bergantung kepada susu khas sebagai makanan harian kerana jika tersilap makan dia akan mengalami kekejangan dan menjadi tidak bermaya,” ujarnya.
Tambahnya, dia merayu kepada orang ramai yang sudi membantu untuk meringankan beban mereka sekeluarga.
Katanya, dia kini menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kategori Bantuan Am sebanyak RM500 dan Pejabat Zakat Negeri Kedah (RM600).
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Kalsom di talian 012-586 7707 atau menyumbang ke akaun Bank Islam Berhad miliknya bernombor 02084020588395.