fbpx

‘Syaitan dalam kepala’ buat Shalma Eliana hari-hari menangis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Shalma Eliana mengakui kelitu dengan diri dan kerap menangis tanpa tahu sebab.

PETALING JAYA – “Syaitan dalam kepala saya buatkan saya sukar untuk merasa cukup. Kadang-kadang saya tidak faham mengapa saya menangis.”

Itu perasaan yang dialami penyanyi dan juga pelakon, Shalma Eliana apabila mendedahkan sedang bergelut dengan masalah tekanan mental yang teruk sehingga kerap menangis tanpa sebab setiap hari dan hilang selera makan.

Menerusi hantaran sebuah video yang dikongsikan Shalma dalam Instagram miliknya, penyanyi berusia 23 tahun itu turut memberitahu, keadaan yang dialaminya itu turut menjejaskan kegiatan hariannya apabila tidak boleh fokus untuk bekerja.

“Saya mengalami gangguan mental yang teruk. Saya cuba untuk membuatkan diri saya berasa lebih baik, tetapi gagal.

“Saya menangis sepanjang hari, tidak lalu makan sehingga tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Saya tidak tahu lagi bagaimana untuk menjadi positif,” jelasnya.

Tambah Shalma atau nama lengkapnya Shalma Eliana Bruhanutheen lagi, dia juga sudah mula menjauhkan diri daripada individu yang disifatkan sebagai toksik untuk menjaga kesihatan mentalnya.

Walaupun mengakui situasi yang dialaminya sekarang membuatkan dirinya berasa sunyi, pelantun lagu Rambang itu sedang cuba sehabis baik untuk belajar berdikari agar dapat membanggakan diri sendiri serta keluarganya.

“Apa yang saya alami sekarang perlu saya hadapi dan saya tahu, lama kelamaan saya pasti boleh menanganinya,” kata Shalma yang menjadikan muzik sebagai terapi untuk dirinya berasa lebih tenang.

Kata Shalma, muzik sangat bermakna dalam dirinya selain sokongan daripada peminat yang tidak henti-henti turut memberi pengertian besar untuk dia terus kuat.

“Muzik memberi saya kekuatan untuk teruskan apa yang saya lakukan. Terima kasih semua untuk segala-galanya.

Dalam ruangan komen, ramai pengikutnya meninggalkan kata-kata semangat untuk dirinya sentiasa kuat, selain jangan berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Kamu tidak keseorangan. Kamu ada Allah SWT. Mengadulah pada-Nya. Kamu akan berasa lebih tenang,” ujar seorang pengikutnya.

“Tidak mengapa menangis. Bertabahlah dan ketahuilah bahawa kawan-kawan dan keluarga kamu sentiasa ada untuk memberi sokongan,” ujar seorang lagi pengikutnya.

“Tabah. Kamu boleh harungi masalah ini. Percayalah,” tegas seorang pengguna Instagram.

Menerusi hantaran terkini, Shalma yang kini sedang menyambung pengajiannya di London, England sejak Ogos tahun lalu, baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul A Phase pada tengah malam tadi (hari ini).

Terdahulu, Shalma atau mesra disapa Yana sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta bersama penyanyi, Ismail Izzani sejak 2018. Bagaimanapun hubungan kedua-duanya berakhir pada 2021 apabila masing-masing mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan.

Shalma dalam satu temu bual berkata, dia tidak mempunyai masa untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta dan hanya mahu fokus pada diri sendir.

Pada masa sama, hubungannya bersama bekas kekasih, Ismail berada dalam keadaan baik dan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap penyanyi itu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI