fbpx

Sedia jadi ‘pengacau’ gergasi hoki dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn berusaha mengawal bola daripada dirampas pemain Korea Selatan pada aksi ACT baru-baru ini. - MHC

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim bertekad untuk memastikan anak-anak buahnya menjadi ‘pengacau’ utama kepada tiga lawan mereka pada Kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol bermula 15 Januari depan.

Realistiknya, peluang Malaysian Tigress dilihat amat sukar untuk menempatkan diri sebagai dua terbaik dalam Kumpulan B berbanding dua pilihan utama, Great Britain (No.7 dunia) dan Sepanyol (No.8 dunia) serta Kanada (No.16 dunia).

Bagaimanapun, skuad negara yang berada di ranking ke-18 dunia, sama sekali tidak akan cepat mengibarkan bendera putih, sebaliknya bersedia memberikan tentangan habis-habisan dalam setiap perlawanan di bumi Valencia nanti.

“Saya selalu terapkan dalam pasukan bahawa kita boleh menjadi pengacau kepada gergasi-gergasi hoki lain. Kita buat benda yang sama di ACT (Trofi Juara-Juara Asia) baru-baru ini yang mana kita seri 1-1 dengan Korea Selatan.

“Ia menyebabkan Korea terpaksa bertemu lawan yang lebih kuat di separuh akhir. Pasukan-pasukan ranking lebih tinggi tentunya akan menjadikan kita sasaran nanti.

MALAYSIA akan menentang Great Britain, Sepanyol dan Kanada dalam saingan Kumpulan B Kelayakan Olimpik di Valencia bermula 15 Januari 2024. – MHC

“Sebab itu kita perlu jadi pengacau di sana nanti. Untuk itu, kita perlu perbaiki dan serius dalam persediaan ke Kelayakan Olimpik supaya pasukan lebih mantap serta bersedia sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Malaysian Tigress tidak pernah layak beraksi ke Olimpik sejak hoki wanita mula dipertandingkan di pentas berprestij itu di Moscow, Rusia pada 1980.

Sukar untuk meraih tiga tiket ke Olimpik Paris 2024 ditawarkan di Valencia kerana saingan Kumpulan A adalah ranking keempat dunia, Belgium, Korea Selatan (No.12 dunia), Ireland (No.13 dunia) dan Ukraine (No.28 dunia).

Begitupun, ia dilihat sebagai platform terbaik buat skuad wanita dalam objektif mereka untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI