Di sebalik keceriaan dirinya, pempengaruh popular dengan video-video parodi jenaka, Satthiya Kandi pasti akan merindui mendiang bapanya setiap kali tiba Deepavali. Bapanya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Masa dia (bapa) meninggal, saya belum sempat ceburkan diri dalam bidang seni. Jadi dia tak sempat tengok apa yang saya lakukan kini.
“Saya bayangkan kalau mendiang bapa baca artikel ini, mesti dia gembira sangat. Tapi apakan daya kita sebagai manusia untuk menolak takdir,” tuturnya.
Begitupun, bukanlah kandungan komedi yang dipertaruhkan semata-mata. Hal itu kerana dia turut lantang menyentuh isu mengenai body shaming atau ejekan tubuh.
Jelasnya, itu antara cabaran yang sering diterimanya sejak menjadi pembuat kandungan kerana ada segelintir netizen yang sering menjadikan fizikal, rupa dan warna kulitnya sebagai ‘modal’ untuk menjatuhkan semangatnya.
Menurut anak tunggal itu lagi, kerana itu jugalah dia acapkali mengangkat isu body positivity termasuk menggalakkan pengikutnya untuk terus yakin dengan diri masing-masing.
“Macam mana saya tampil yakin? Pertama sekali, kita mestilah menyayangi diri sendiri.
“Tak kiralah badan kita macam mana, warna kulit macam mana. Dikecam gemuk, badan besarlah, macam kerbaulah, jangan sesekali kita malu atau hilang keyakinan.
“Itulah apa yang terjadi kepada diri saya sampai ke hari ini. Kadangkala video yang kita buat sudah cukup okay dan positif, tetapi mereka (segelintir netizen) jatuhkan kita dengan cara begini (body shaming).
“Jadi, kalau saya sendiri rasa malu dan tidak yakin apatah lagi tahan dengan kecaman netizen, saya tidak rasa akan berada di sini sekarang,” katanya.
Selain memuat naik video parodi dan lawak di TikTok secara bersahaja dengan bahasa Melayu, Satthiya juga sebenarnya fasih bertutur bahasa Mandarin.
Menurutnya, bahasa Mandarin mula dikuasainya sejak berusia tiga tahun ketika belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Semambu, Kuantan.
Dia memberitahu mempunyai bakat nyanyian terutama dalam lagu berbahasa Melayu. Katanya, bakat nyanyian tersebut bermula sejak di bangku sekolah lagi.
“Lagu Melayu boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.
“Saya juga menyukai lagu nyanyian Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin serta pernah menyanyikannya dalam majlis rasmi seperti persembahan di kolej,” katanya.
Artikel ini merupakan artikel rencana, untuk membaca penuh sila layari https://www.kosmo.com.my/2023/11/10/dikecam-besar-macam-kerbau-saya-tetap-tampil-yakin-satthiya-kandi/