PADANG BESAR – Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini masih lengang biarpun negeri jiran sudah mula bercuti sempena Deepavali hari ini.
Pengusaha insurans yang mahu dikenali sebagai Chong berkata, jumlah penduduk tempatan yang membeli insurans untuk memasuki negara jiran agak rendah pada hari ini.
“Pada sebelah pagi, agak ramai orang tempatan yang membeli insurans, namun jumlahnya berkurangan pada waktu petang berbanding musim cuti sekolah lalu.
“Kita jangka esok lebih ramai rakyat Malaysia yang akan melintas Padang Besar sempena cuti perayaan Deepavali yang bermula pada Sabtu berdasarkan tempahan dalam talian yang kami terima,” katanya yang ditemui hari ini.
Tinjauan Kosmo! pada sebelah petang ini mendapati laluan dokumentasi pas sempadan dan pasport lengang. Orang ramai yang mahu ke negara jiran juga tidak perlu beratur panjang.
Sementara itu, di Stesen Keretapi Tanah Melayu Malaysia Berhad (KTMB) Padang Besar pula mendapati, kira-kira 200 pengguna perkhidmatan awam itu sedang menunggu trip terakhir yang akan bertolak ke Hatyai.
Menurut seorang kakitangan KTMB, dianggarkan 300 hingga 400 penumpang akan berlepas ke Thailand hari ini menggunakan perkhidmatan tren State Railways of Thailand.
“Kita menjangkakan esok lebih ramai yang akan bertolak ke Thailand. Saya difahamkan sebuah tren Sawadee Ekspres dari ibu kota akan membawa 400 penumpang ke Hatyai.
“Jumlah itu tidak termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE