SEPANG – Pelumba Itali, Enea Bastianini bertekad untuk berada dalam kedudukan 10 teratas selepas prestasinya terjejas teruk gara-gara dihimpit kecederaan berikutan beberapa siri insiden kemalangan yang menimpanya.
Pelumba Lenovo Ducati percaya keputusan terbaik dengan menamatkan perlumbaan tempat ke-13 sewaktu Grand Prix (GP) Thailand baru-baru ini mampu membantunya meningkatkan gaya tunggangannya menjelang GP Malaysia pada hujung minggu ini nanti.
Tegas Bastianini, dia yakin mampu membawa momentum positif itu selepas turut tampil kompetitif sewaktu bersaing di Litar Antrabangsa Sepang (SIC) musim lalu dengan menamatkan perlumbaan tempat kedua.
“Sewaktu di Thailand, saya bermula dengan perlahan tetapi pada hari Ahad kami mengumpul lebih banyak maklumat penting untuk tampil lebih baik pada perlumbaan tersebut.
“Pada tahun lalu, saya kompetitif di Sepang dan saya harap mampu menjadi pelumba yang terbaik sekali lagi tahun ini. Mudah-mudahan cuaca lebih baik dan mampu memberi peluang kepada kami untuk cemerlang di litar ini sekali lagi,” kata Bastianini.
Pada musim lalu, Bastianini yang bersaing bersama pasukan Gresini Racing tampil cemerlang apabila melakar empat kemenangan sekali gus membolehkannya menamatkan perlumbaan keseluruhan tempat ketiga dan terus dinaikkan pangkat untuk bersaing pasukan utama Ducati Lenovo.
Bagaimanapun, pelumba berusia 25 tahun itu yang menggantikan tempat Jack Miller gagal mengulangi pencapaian tersebut selepas dihimpit kecederaan sekali gus terlepas tiga perlumbaan awal dan beberapa perlumbaan lain. – AGENSI