PUTRAJAYA – Padah meminta habuan seks terhadap seorang wanita sebagai balasan untuk tidak dikenakan tindakan gagal lapor diri atas kesalahan dadah seorang penguat kuasa sebuah agensi di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika bersama wanita berusia lingkungan 20-an dalam satu operasi khas semalam di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira pukul 7.30 malam.
Katanya, wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, suspek telah meminta habuan seks.
“Wanita tersebut dipercayai pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru,” katanya.
Susulan penahanan tersebut, sumber berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi ini.
Jelasnya, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 November terhadap suspek.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE