MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barangan milik sebuah hotel bernilai RM585, bulan lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Jiun Loong, 30, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan kecurian dalam bangunan iaitu kotak amenities, tuala mandi, bakul buluh, bantal dan bantal sofa beserta sarung serta gelas kaca yang bernilai keseluruhan kira-kira RM585.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di bilik 2106 sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang dalam daerah Melaka Tengah pada 23 Oktober 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia tidak bekerja dan tiada pendapatan, selain menghidap penyakit auto imun kronik SLE yang memerlukan rawatan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 3 November 2023 dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.- KOSMO! ONLINE