NEW DELHI – Pihak berkuasa di India memecat dua doktor di sebuah pusat kesihatan utama selepas klip video memaparkan seorang lelaki membawa pulang mayat adik perempuannya menggunakan motosikal, tular di media sosial, lapor stesen penyiaran NDTV.
Ketua Pegawai Perubatan, Dr. Shishir Kumar Verma berkata, siasatan dijalankan dan tindakan telah diambil terhadap penguasa pusat kesihatan tersebut yang terletak di Bidhuna, Dr. Avichal Pandey dan Dr. Kriparam.
Keputusan berkenaan diambil atas arahan Menteri Kesihatan Negeri Uttar Pradesh dan Timbalan Ketua Menteri, Brajesh Pathak, kata Verma.
Menurut Verma, pesakit bernama Anjali, 20, dari kawasan Naveen Basti dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika menggunakan pemanas air pada Selasa lalu.
Dia kemudian dibawa ke pusat kesihatan masyarakat di mana doktor mengesahkan dia meninggal dunia.
Selepas itu, ahli keluarganya memutuskan untuk membawa pulang mayat tanpa bedah siasat namun tidak dibekalkan dengan perkhidmatan ambulans.
Abang Anjali, Ayush terpaksa mengikat mayat adiknya pada badannya untuk pulang dengan menaiki motosikal. Seorang lagi saudara perempuan Anjali turut menaiki motosikal itu ketika kejadian. – AGENSI