PUTRAJAYA – Sebanyak 100,936 kes demam denggi direkodkan sejak Januari hingga 4 November lalu berbanding 51,256 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 49,674 kes iaitu 96.9 peratus dengan 78 kematian berbanding 35 kematian bagi tempoh sama.
Katanya, bagi Minggu Epidemiologi ke-44 sebanyak 2,221 kes berbanding 2,272 kes pada minggu sebelumnya dengan penurunan sebanyak 51 kes atau 2.2 peratus.
“Sebanyak lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-44 adalah sebanyak 67 berbanding 68 lokaliti pada minggu sebelumnya.
“Daripada 67 lokaliti dilaporkan, 47 lokaliti di Selangor, Perak (lapan), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lima), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing (dua) manakala Pulau Pinang, Pahang dan Sabah (satu),” ujarnya.
Bagi survelan chikungunya pula, Dr. Muhammad Radzi berkata, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-44 dan jumlah kumulatif chikungunya sehingga kini sebanyak 181 kes.
“Sebanyak 3,065 sampel darah dan 316 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasilnya adalah negatif,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar masyarakat melakukan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk bagi memutuskan rangkaian jangkitan demam denggi.- KOSMO! ONLINE