fbpx

Konflik Palestin-Israel : Tragedi Nakba berulang lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKYAT Palestin berjalan kaki meninggalkan Bandar Gaza dan kawasan lain di utara Semenanjung Gaza menuju ke selatan kelmarin. -- AFP

BANDAR GAZA – Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin melarikan diri daripada pertempuran dan pengeboman di Gaza ketika Israel mengetatkan kepungan ke atas pejuang Hamas dan sekali lagi menolak gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan.

Gesaan kepada gencatan senjata untuk melindungi orang awam diusulkan sejak lebih sebulan selepas perang tercetus apabila Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu. Pegawai-pegawai Israel berkata, kira-kira 1,400 rakyatnya terutama orang awam terbunuh, manakala Hamas juga menawan seramai 239 tebusan.

Israel bertindak balas dengan melancarkan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza yang membunuh lebih 11,000 orang setakat ini, kebanyakan mereka kanak-kanak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sekali lagi menolak prospek gencatan senjata di Gaza. Perkembangan itu berlaku di sebalik laporan bahawa rundingan diadakan dengan Hamas untuk menangguhkan pertempuran bagi membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.

Tentera Israel berkata, seramai 50,000 orang meninggalkan utara Semenanjug Gaza menuju ke selatan wilayah sempit itu pada Rabu lalu ketika pertempuran sengit berlarutan antara sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dan Rejim Zionis.

“Kami melihat hari ini (kelmarin) bagaimana 50,000 penduduk Gaza berpindah dari utara Gaza ke selatan Gaza.

“Mereka pergi kerana mereka faham bahawa Hamas hilang kawalan di utara, manakala di selatan lebih selamat,” kata jurucakap tentera, Daniel Hagari.

Kira-kira 15,000 orang telah melarikan diri pada Selasa lalu, berbanding 5,000 pada Isnin dan 2,000 lagi pada Ahad lepas kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk mengecam Israel berhubung pemindahan secara paksa rakyat Gaza semasa beliau melawat Lintasan Sempadan Rafah di antara Gaza dan Mesir yang merupakan satu-satunya jalan keluar dari wilayah Palestin itu tanpa kawalan Israel.

“Hukuman kolektif oleh Israel terhadap orang awam Palestin juga merupakan jenayah perang, begitu juga dengan pemindahan paksa orang awam yang menyalahi undang-undang,” katanya pada satu sidang akhbar.

“Bantuan yang tiba pula hanya sedikit,” ujar Turk sambil menambah, menjadi kewajiban Israel untuk memastikan keperluan asas maksimum sampai kepada setiap nyawa yang memerlukannya.

Seorang pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa pemindahan penduduk Palestin yang cedera dan mereka yang memiliki dua kewarganegaraan terhalang pada Rabu lalu walaupun orang ramai sudah lama menunggu di terminal sempadan. Ia berikutan Israel enggan meluluskan senarai mangsa yang cedera dan perlu dibawa melintasi sempadan.

Sumber rapat dengan Hamas berkata, rundingan sedang dilakukan untuk membebaskan seramai 12 tebusan yang ditahan oleh kumpulan-kumpulan Islam termasuk enam warga Amerika Syarikat sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama tiga hari di Gaza.

Ketika rundingan diteruskan, semakin ramai orang awam Palestin melarikan diri ke selatan dari utara Gaza.

“Kami hilang tempat tinggal, kami kehilangan anak-anak kami. Di mana masyarakat global? Di mana saudara seislam kita? Lihatlah kami!” kata Nouh Hammouda.

Dia merupakan antara puluhan ribu penduduk Palestin yang melarikan diri.

Terdahulu, tentera Israel menggugurkan risalah dari udara dan menghantar mesej teks mengarahkan orang awam di utara Gaza supaya lari ke selatan.

Pada 15 Mei 1948, tentera Zio­nis mengusir sekurang-kurangnya 750,000 penduduk Palestin dari kediaman dan tanah mereka dan menawan 78 peratus wilayah Pa­lestin dalam tragedi dinamakan Nakba (malapetaka).

Baki 22 peratus lagi dipisahkan menjadi kawasan dikenali sekarang sebagai Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI