LONDON – Sebuah syarikat di Britain sedang mencari seorang pemandu baharu untuk memandu sebuah kereta supersonik bagi memecahkan rekod kelajuan darat dunia, sehingga 1,287 kilometer sejam, lapor akhbar The Sun, semalam.
Kereta berkuasa jet itu berada di Muzium Pengangkutan Coventry sejak 2019 selepas komander Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Andy Green berjaya memecahkan rekod dunia dengan memandunya melintasi padang pasir Afrika Selatan pada 2017.
Rekod kelajuan Green mencecah 1,227 kilometer sejam menempatkan kereta dinamakan Bloodhound itu dalam senarai lapan kereta pantas terbaik sepanjang zaman selain Sonic 1, Blue Flame, Thrust2, Budweiser Rocket, Sonic Arrow, Aussie Invader III dan Thrust SCC.
Ketua Pegawai Eksekutif Bloodhound, Stuart Edmondson berkata, peruntukan sebanyak £12 juta (RM69.3 juta) diperlukan untuk proses baik pulih bagi menempatkan semula kereta itu di atas trek dan memecahkan rekod kelajuan darat 1,287 kilometer sejam tanpa menggunakan bahan api fosil.
“Pemohon perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman tertentu. Saya memerlukan seseorang yang berkebolehan untuk memandu Bloodhound. Ia tentang disiplin dalam persekitaran yang mencabar,” katanya.
Mereka juga memerlukan pakej dana yang besar kerana percubaan sebelum ini untuk mengumpul wang tunai yang diperlukan semasa pandemik Covid-19 gagal. – AGENSI