fbpx

Kaum lelaki kurang cakna risiko kesihatan berbanding wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERANGAN jantung merupakan salah satu punca kematian kaum lelaki. – Gambar hiasan

MASALAH kesihatan kaum lelaki di Malaysia secara umumnya berada pada tahap yang membimbangkan.

Jika keadaan ini berterusan, ia akan menjadi punca utama kepada peningkatan kadar kematian tinggi di Malaysia.

Malah, berdasarkan laporan statistik pada tahun 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, majoriti angka kematian adalah terdiri daripada kaum lelaki iaitu sebanyak 117,790 orang atau 57 peratus.

Antara punca utama kematian yang dikenal pasti dalam kalangan lelaki adalah masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan kanser.

Masalah-masalah ini berkait rapat dengan cara pemakanan, gaya hidup, genetik dan psikologi individu itu sendiri.

Tidak lupa juga tahap kesihatan mental dalam kalangan kaum lelaki yang semakin merudum dan perlu segera dibendung.

Depresi dan tekanan perasaan yang berpunca daripada desakan dan tekanan di tempat kerja serta norma budaya yang meletakkan stigma negatif terhadap penyakit mental sering menjadi penghalang bagi kaum lelaki mendapatkan rawatan doktor.

Lelaki lebih cenderung untuk merokok, minum arak, penyalahgunaan dadah dan melibatkan diri dalam gejala-gejala berisiko tinggi sebagai jalan penyelesaian mudah untuk mengawal stres.

Gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan berlebihan, kurang bersenam, merokok dan minum arak telah meningkatkan risiko kepada masalah-masalah kesihatan yang dihadapi kaum lelaki.

Merokok merupakan salah satu penyumbang kepada masalah kesihatan.

Kaum lelaki juga kurang cakna tentang risiko-risiko ini sehinggalah masalah kesihatan berada pada tahap kritikal.

Lebih membimbangkan apabila bilangan kes kanser prostat semakin meningkat bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Kajian telah mengenal pasti bahawa antara punca kanser prostat dalam kalangan lelaki adalah faktor peningkatan umur, genetik, merokok, obesiti dan kurangnya kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan berkala.

Masyarakat perlu sedar bahawa kanser prostat mempunyai kebarangkalian tinggi untuk sembuh jika ia dapat dikesan dan dirawat awal, terutama bagi yang sudah berumur 40 tahun ke atas.

Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga pernah menghidapi penyakit kanser, mereka dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan awal melalui ujian fizikal dan darah seperti PSA bagi mendapatkan diagnosis awal.

Melalui kaedah-kaedah ini, pelbagai bentuk rawatan efektif boleh ditawarkan seperti surgeri atau radioterapi yang menggunakan teknik maju dan mempunyai kesan sampingan rendah.

Kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan dalam kalangan lelaki perlu diberi penekanan dan dinormalisasikan dalam masyarakat.

Persepsi ini jauh berbeza dengan tahap kesedaran yang diberikan terhadap penyakit dalam kalangan kaum wanita.

Misalnya, kanser rahim yang menawarkan rawatan pap smear atau kanser payudara menerusi pemeriksaan secara berkala.

Usaha meningkatkan kesedaran akan berjaya jika insentif berskala besar daripada semua pihak dapat diaplikasikan dan diketengahkan melalui program-program kesedaran terhadap kanser prostat baik di dalam mahupun luar bandar.

Tidak lupa juga peranan besar medium komunikasi seperti iklan, wawancara, diskusi ilmiah bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan membendung kanser prostat di peringkat awal.

Bagi menggerakkan usahasama daripada semua pihak, sokongan berbentuk kewangan dan polisi kerajaan menjadi tunjang dalam merealisasikan objektif ini.

Kerajaan dan institusi persendirian perlu sedar akan pentingnya kemudahan untuk rakyat mengakses perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan menganggap kos rawatan menjadi bebanan buat mereka.

Malangnya, secara realiti, topik kesihatan lelaki masih dipandang enteng oleh masyarakat.

Kaum lelaki yang diangkat sebagai pemimpin dan ketua keluarga acap kali tidak mempunyai platform kesedaran yang sama seperti diberikan kepada kaum wanita.

Reben merah jambu yang menjadi lambang simbolik kaum wanita terhadap kanser payudara tidak memberi impak sama dalam masyarakat seperti mana reben biru iaitu lambang kesedaran terhadap kanser prostat.

Namun ingatlah, kesedaran dan pengetahuan terhadap masalah kesihatan kaum lelaki bermula dan datangnya daripada peranan ahli keluarga dalam memastikan bapa, suami atau anak lelaki peka tentang pentingnya menjaga

kesihatan.

Dr. Nur Adila Mokhtar merupakan Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI