BRUSSELS – Timbalan Perdana Menteri Belgium, Petra De Sutter menggesa kerajaan melaksanakan sekatan terhadap Israel dan menyiasat pengeboman Rejim Zionis ke atas hospital serta kem pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, lapor portal berita The New Arab semalam.
“Sudah tiba masanya untuk (melaksanakan) sekatan terhadap Israel. Hujan bom nyata tidak berperikemanusiaan.
“Adalah jelas bahawa Israel tidak mengambil berat tuntutan antarabangsa untuk mengadakan gencatan senjata,” kata De Sutter kepada akhbar Nieuwsblad.
Katanya, Kesatuan Eropah (EU) harus segera menggantung perjanjian yang bertujuan untuk melaksanakan kerjasama ekonomi dan politik yang lebih baik dengan Israel.
Menurutnya, larangan import produk dari wilayah Palestin yang dijajah juga perlu dikuatkuasakan.
De Sutter juga menyatakan bahawa peneroka haram Yahudi, ahli politik dan askar yang bertanggungjawab melakukan jenayah perang di Gaza perlu dilarang daripada memasuki EU.
Pada masa sama, katanya, Belgium harus meningkatkan pembiayaan untuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda, untuk menyiasat pengeboman di Gaza sambil mengurangkan aliran wang masuk ke dalan akaun Hamas.
Ekoran perang Gaza yang kini memasuki bulan kedua, pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara maju Kumpulan Tujuh (G7) meningkatkan rayuan untuk gencatan senjata kemanusiaan untuk membantu meringankan penderitaan di Gaza. – AGENSI