BANGKOK – Seorang ibu dijamu dengan hidangan udang kara enak oleh ibu mertuanya di sebuah hospital, dalam aksi yang membuatkan netizen kagum, lapor portal berita Thaiger semalam.
Ramai netizen menganggap ibu mertua itu sebagai ibu mertua idaman. Kisah tersebut yang menceritakan tentang seorang wanita muda yang baru bersalin, tersebar luas di laman sosial.
Gambar yang dikongsi mendedahkan dia duduk di atas katil hospital dengan ibu mertua di sisinya membuang kulit udang untuk dia makan.
“Apabila melihat menantunya keletihan selepas bersalin, ibu mertua itu tergesa-gesa menyuruh anaknya pulang mengukus udang kara dan membawanya ke hospital.
“Kemudian, dia perlahan-lahan membuang kulit dan menyuapkan menantunya makan. Ya, kehidupan selepas berkahwin untuk seorang wanita,” kata individu yang menceritakan kisah tersebut.
Selepas gambar-gambar ini dikongsi secara meluas di laman sosial, ramai yang mengagumi ibu mertua tersebut kerana melayan menantunya dengan baik dan bertimbang rasa. – AGENSI