fbpx

‘Minta nombor telefon sebelum raba’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan mencabul seorang gadis di tepi jalan di daerah ini, kelmarin. -Foto NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

KUALA PILAH – Seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tujuh bulan kerana mencabul gadis di tepi jalan di daerah ini, kelmarin.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ezriez Shah Alizal, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan pemuda itu dikenakan satu sebatan.

“Tindakan tertuduh mencabul mangsa adalah salah dan keterlaluan di tepi jalan ketika menaiki motosikal. Trauma mangsa perlu diambil kira.

“Pada usia muda sepatutnya lakukan perkara yang baik, bukannya buat jenayah seperti ini (cabul). Hukuman ini untuk memberi amaran kepada kamu dan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan cabul,” tegas Majistret itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencabul gadis berusia 22 tahun pada 8 November lalu, kira-kira pukul 6.30 petang di tepi jalan Temeris Kuala Kepis di sini.

Mengikut fakta kes, pada masa dan tarikh itu, mangsa menyedari terdapat sebuah motosikal ditunggang lelaki mengekorinya. Sebaik sampai di jalan tersebut, motosikal mangsa dihimpit.

Tertuduh bertanyakan mangsa mahu pergi ke mana dan meminta nombor telefon, namun gadis itu tidak memberikan respons. Secara tiba-tiba tertuduh bertindak di luar jangkaan dan mencabul mangsa sebanyak dua kali.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman ringan kerana sudah menyesal.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI