KUALA LUMPUR – Menggunakan lorong belakang untuk membasuh peralatan memasak antara punca 45 kompaun kesalahan tidak mematuhi spesifikasi kebersihan dikeluarkan, kelmarin.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, Operasi Sepadu Bersih itu membabitkan 36 orang petugas DBKL di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara.
Kata kenyataan itu, menerusi pemeriksaan terhadap 52 premis, terdapat restoran yang bahan mentah diletakkan di atas lantai, makhluk perosak di sekitar premis serta menggunakan lorong belakang untuk membasuh peralatan memasak selain pekerja yang tidak mengambil suntikan tifoid.
“Pemeriksaan dilakukan di Jalan Bukit Cheras, Taman Bukit Anggerik , Jalan Radin Bagus 7, Kiosk tingkat bawah Hospital Pantai KL, Mid Valley Megamall, Jalan Wan Kadir, Rivercity Plaza, Selangor Mansion dan Pertama Kompleks.
“Hasil pemerikasaan ke atas 52 premis, satu premis dikenakan tindakan arahan penutupan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016.
“Sementara itu, 45 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, DBKL mengharapkan para peniaga makanan di ibu negara sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan dan tidak menunggu ‘diserang’ pihat berkuasa tempatan untuk mula mengambil tindakan.
“Sampai bila pengendali premis makanan ni nak sedar bahawa aspek kebersihan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian? Ke nak tunggu DBKL sampai dulu?” katanya.-KOSMO! ONLINE.