KEMAMAN – Keseronokan dua budak lelaki mandi pantai berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas di Pantai Taiping, Kemasik di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, mangsa, Muhammad Ammar Azwan Azani, 8, cuba diselamatkan seorang pengunjung namun gagal.
Marzuki Mahat, 34, berkata, sewaktu kejadian dia dan ahli keluarganya berada di dalam kereta berhampiran pantai berkenaan.
“Seorang kanak-kanak lelaki berlari ke arah kereta saya meminta tolong menyelamatkan rakannya yang lemas.
” Mengikut ceritanya, mereka yang menetap di perkampungan berhampiran berbasikal ke pantai tersebut untuk mandi pantai, ” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Marzuki berkata, dia terus menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kes lemas berkenaan sebelum berenang di pantai tersebut bagi mencari mangsa.
Tambahnya, pada mulanya, Muhammad Ammar Azwan gagal ditemui selepas dia berenang di sekitar Pantai Taiping dalam tempoh 15 minit.
“Saya berjaya juga bertemunya berhampiran kawasan berbatuan kira-kira lima selepas berenang buat kali kedua sebelum mengusungnya ke gigi pantai.
” Saya cuba memberi bantuan pernafasan awal (CPR) tetapi nadinya sudah tiada. Terkilan gagal menyelamatkannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan yang dihubungi berkata, mayat Muhammad Ammar Azwan telah dihantar Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE