SHAH ALAM – Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi memastikan kerterjaminan makanan rakyat Selangor pada tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan dengan kerjasama Perbadanan Pertanian Selangor (PKPS).
Katanya, usaha tersebut dijangka dapat mempertingkatkan bekalan makanan antara tiga hingga enam bulan.
“Kerajaan negeri akan mengukuhkan kesediaan stok makanan terutama bekalan beras, ikan dan daging bagi persediaan menghadapi sebarang situasi perubahan di rantau ini atau pun luar negara sama ada akibat faktor perubahan iklim atau geopolitik.
“PKPS juga akan mengguna pakai template penanaman padi yang terbukti dapat meningkatkan hasil penuaian sehingga dua kali setahun ke kawasan lain di Selangor serta negeri lain supaya kerterjaminan makanan Selangor dapat ditingkatkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024, hari ini.
Selain itu, lebihan RM10 juta daripada keseluruhan peruntukan itu akan digunakan bagi pembangunan projek Klusterisasi Tanaman dan produk hiliran setiap daerah di Selangor.
Amirudin menjelaskan, ini merupakan salah satu dasar untuk mempelbagaikan bekalan makanan seperti kelapa, padi, pisang, melon dan sayuran Sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dari luar negara.
“Tiba masanya juga untuk Selangor menjadi negeri yang menerajui penggunaan teknologi pintar dalam bidang pertanian dengan mengambil kira batas tanah baharu yang dapat digunakan untuk tujuan pertanian.
“Teknologi seperti hidroponik, akuaponik serta penanaman vertikal menggunakan teknologi artificial intelligence (AI) penting untuk menarik minat pelabur dan luar negara supaya dapat menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian,” katanya. -KOSMO!ONLINE