PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 di Riyadh, Arab Saudi, esok.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, sidang berkenaan bagi membincangkan serangan, kekejaman dan ketidakberperikemanusiaan rejim Israel yang berterusan ke atas Palestin.
Kata kenyataan itu, pada sidang berkenaan Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan pegawai kanan kerajaan.
“Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-8 ini akan dihoskan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud yang akan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil Negara Anggota OIC,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, Sidang Kemuncak itu didahului dengan dua mesyuarat persediaan, iaitu Mesyuarat Persediaan di Peringkat Menteri pada hari ini dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan berlangsung semalam.
“Sidang Kemuncak ini merupakan keberhasilan daripada kerjasama utuh Perdana Menteri bersama beberapa Pemimpin OIC,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, semasa Sidang Kemuncak ini, Anwar akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Ini di mana krisis kemanusiaan masih berlarutan serta keperluan utama bagi Negara-negara Anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak itu juga, dijangka akan menerima pakai satu Dokumen Hasil (Final Communiqué) . – KOSMO! ONLINE.