fbpx

48 jam sudah berlalu, Guan Eng tekad saman Siti Mastura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Guan Eng (kiri) dan Mastura

PETALING JAYA – Selepas tempoh 48 jam diberikan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan Chin Peng serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Dalam kenyataannya hari ini, Guan Eng berkata ucapan Siti Mastura itu didakwa dilakukan dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Katanya, tindakan itu dilakukan kerana Siti Mastura didakwa menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina sekali gus membabitkan unsur perkauman dan ekstremis.

Justeru beliau sudah melantik peguam Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguam bagi memulakan prosiding terhadap Siti Mastura.

Selasa lalu, Guan Eng dalam satu sidang media di Parlimen memaklumkan memberi masa dua hari kepada Siti Mastura
mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.

Guan Eng berkata, kegagalan Siti Mastura berbuat demikian berisiko berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Saya beri peluang kepada Kepala Batas untuk menunjukkan bukti, kalau tidak dapat buktikan kita akan ambil tindakan seterusnya, membabitkan semua tindakan yang perlu diambil,” katanya pada sidang akhbar di pusat media Parlimen.

Terdahulu, melalui video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura pada suatu majlis dirakam mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Selain itu, Siti Mastura juga dalam rakaman itu mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Malah, Siti Mastura juga mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI